Sunday, April 10, 2016

Lalu Engkau Hidup Sebagai Apa??

Sahabat
Sudah besar panjang kau
Semakin besar fizikalmu makin mudah pula kau lupa
Makin terlarut dek anak dibuai indah dunia
Makin suka kau ingkar perintah Tuhan pencipta semesta
Maka
Senang sekali untuk aku  ingatkan kau semula
Kau asalnya dari mana lalu kau hidup sebagai apa?

Kau takkan pernah ingat tentang ini

Tentang…
Tarikh keramat kemerdekaan ke 38 Malaysia
Sorak gempita warga hampir saja memecah kota
Cahaya bunga api bersimbah mencerahkan suasana
Anak muda bersuka ria konon merai bebas penjajah sudah tiada
Warga tua menangis mengenang hilangnya derita.
Tetapi
Suasananya lain sekali di rumah orang tuamu
Suasananya bingit dengan ilai jerit Ummi
Cemas menyelimuti sosok tubuh Abi
Berjalan gundah kesana kemari… menanti
Saudara-saudaramu masih terpinga-pinga, tidak mengerti,
Apa sebenarnya sedang terjadi. 

Tapi, 
Tangisan kau penyebab semuanya terhenti,
Hilangnya cemas, hilangnya resah, hilangnya gundah… gembira bertamu hati mensyukuri
Cahaya rahmat dan kesyukuran malah lebih terang daripada cahaya bunga api,
Kuntuman senyum Abi ternyata lebih bermakna dan beerti,
Air mata ummi lebih dari sekadar menahan sakit tidak terperi,
Berharap...
Sebaliknya berharap setinggi gunung permata ketujuhnya istiqomah dalam berbakti,
Saifullah ini didoa menjadi manusia berhias taqwa  bercermin budi.

Lahirmu bermakna lengkaplah istiadat sumpahmu kepada Tuhan,
Taat patuh pada setiap arahan dan larangan
Berjanji tak akan menyalahi arahan
Berjanji bukan mazmumah sebagai pakaian
Malah berjanji mahmudah sebagai pegangan
Mengajak ma’ruf  mencegah pula kemungkaran. 

 Sahabat
Hidupmu didunia dan akhirat akan dihujani pertanyaan
Pertanyaan dunia tentang pilihan
Pertanyaan mahsyar tentang ketanggungjawaban,
Justeru tidak ada mulianya kau pada pakaian
Tidak ada megahnya kau  pada sosok tubuh badan
Tidak akan pernah  ada hebat pada kenderaan
Bahkan nilai taqwa juga kelak yang dipandang tuhan

Tidak bermakna lagi apapun latar pendidikanmu
Kau lulusan agama Maktab Mahmudkah,
Produk professional Matrikulasi Kedahkah
Sekalipun Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa..
Selagi hidupmu berpandu telunjuk nafsu syaitan
Memandang sepi firman-firman tuhan
Membakul sampah hadis sabdaan junjungan
Tidak ada kemuliaan bagimu
Tidak ada erti kehidupan bagimu
Tidak sma sekali tidak ada ketenangan bagimu
Kerana sumpahmu telah mereput dalam timbunan keegoan pesona keduniaan.

Lalu sahabatku Saifullah,
21 tahun sudah usiamu memendek
Mendekati takdir upacara pencabutan roh yang datang tak pernah diundang
Masihkah kau  mahu alpa dengan asyiknya nikmat sementara?
Berkhayal dengan cinta dan perhatian manusia?
Melemaskan diri dalam penipuan dunia?
Meletihkan jiwa dengan bayang fatamorgana?
Sedangkan kau tahu dunia baqa’ siap tersedia malah abadi bahagianya?
Ingatlah kembali Saifullah 
Soal dirimu semula
Lalu kau hidup sebagai apa?